National Autism Resource Centre (NARC), Fakulti Sains Komputer & Matematik telah bekerjasama dengan EcoKnights Malaysia iaitu sebuah organisasi alam sekitar bukan kerajaan dalam melancarkan kempen’ Old Soles New Life’ iaitu kempen kitar semula kasut. Kerjasama ini juga turut mendapat sokongan dari Dow Malaysia dan Life Line Clothing Malaysia iaitu syarikat kitar semula tekstil terkemuka. Kempen ini merupakan pertama kali dilakukan di Malaysia yang melibatkan pengurusan ekosistem sisa kasut.

Kempen yang berlangsung selama dua bulan bermula dari 4 Ogos sehingga 18 September 2022 ini merupakan fasa pertama projek untuk mendedahkan model ekosistem kitar semula sisa kasut kepada komuniti di Malaysia. Antara jenis kasut yang boleh disumbangkan ialah semua jenis kasut bergetah atau elastomer seperti kasut sukan, kasut sekolah dan but bola sepak tanpa kancing logam, selipar dan juga sandal. NARC mensasarkan jumlah kutipan sebanyak 3,750 pasang kasut atau 1,125 kg. Warga UiTM dijemput untuk mengitar semula kasut terpakai dan yang tidak digunakan ke dalam tong sampah kasut yang disediakan di Kompleks Al-Khawarizmi, Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Berdasarkan statistik dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menganggarkan bahawa jumlah sisa pepejal yang dijana pada 2021 ialah 38,427 tan sehari, dengan 82.5 peratus dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Memandangkan kasut mempunyai jangka hayat yang lebih pendek, tapak pelupusan sampah telah menunjukkan peningkatan dalam sisa kasut. Kempen ini akan menangani masalah ruang yang terhad di kawasan tapak pelupusan sampah seterusnya mengurangkan kesan kepada alam sekitar di Malaysia.

Dalam projek ini, pihak Dow Malaysia akan memproses tapak (bahagian bergetah) kasut yang diambil dari sumbangan warga UiTM untuk dikisar dan seterusnya menghasilkan butiran getah. Butiran getah ini akan digunakan dalam pembinaan infrastruktur terutamanya permukaan padang sukan. Antara projek yang telah berjaya dilakukan adalah di taman permainan yang dibina di Sekolah Kebangsaan Bukit Tadom (A), Banting, Selangor, sebuah sekolah orang asli yang rosak teruk akibat banjir pada Disember 2021.

Presiden EcoKnights, Dr Yasmin Rasyid turut menyatakan bahawa dengan kerjasama ini secara tidak langsung EcoKnights dapat menunjukkan cara bagaimana sisa kasut terpakai boleh digunakan semula untuk tujuan lain dan akhirnya dapat menjana ekonomi sekeliling.

Dalam masa yang sama, Encik Dale Warren sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Life Line Clothing turut menyatakan bahawa dengan inisiatif ini sedikit sebanyak dapat Dow Malaysia dapat membantu memainkan peranan utama dalam melaksanakan kitar semula kasut di Malaysia.

Pengerusi National Autism Resource Centre (NARC), Professor Dr. Nursuriati Jamil menyambut baik kempen ini dan berharap warga UiTM akan bersama menyokong dengan menyumbang kasut lama di tong pengumpulan terletak di FSKM. Kerjasama di antara UiTM dan pihak industri ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan ini adalah bukti komitmen UiTM dalam menyumbang kembali kepada masyarakat. Pada masa akan datang, NARC merancang untuk bekerjasama dengan Industry, Community and Alumni Network (ICAN) UiTM dan UiTM Green Centre (UGC) untuk projek yang melibatkan kelestarian universiti dan komuniti.