SHAH ALAM: Kejayaan Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghasilkan dua produk digital, myTerapi dan AustiMall memberi khabar gembira kepada golongan autisme.

MyTerapi adalah satu produk yang dibangunkan untuk kegunaan golongan autisme dan masyarakat yang memerlukan khidmat terapi manakala AutisMall adalah sistem e-dagang bertujuan memberi ruang kepada golongan autisme, ibu bapa dan penjaga mereka untuk mengetengahkan produk masing-masing kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Dr. Norazah Abd. Rahman berkata, NARC mulakan langkah komprehensif dalam membantu masyarakat memahami golongan autisme, terutamanya kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga dengan pendedahan melalui siri-siri webinar sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

“Selain itu, maklumat lengkap berkenaan keperluan asas seperti pendidikan awal, pengesanan awal autisme dan pusat- pusat kesihatan yang menyediakan kemudahan saringan awal autisme serta pusat intervensi setempat telah disediakan dalam tapak web yang boleh dicapai di www.narc.uitm.edu.my,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Inisiatif Memperkasakan Golongan Autisme dan melancarkan NARC sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia di Aeon Mall, semalam.

Dalam masa sama, Norazah turut NARC, dengan kerjasama Persatuan Autisme Malaysia (NASOM) Malaysia, berjaya membangunkan rumah cendawan berasaskan Internet of Thing (IoT) di Pusat Latihan Vokasional NASOM Bandar Puteri, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka yang tinggal di asrama tersebut.

Sementara itu, Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, menghargai atas usaha murni UiTM kerana membantu NASOM meningkatkan kesedaran serta penerimaan individu autisme dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, NASOM perlu bekerjasama bersama semua pihak dalam usaha untuk menyediakan tempat yang mesra pengguna kepada individu autisme serta menyediakan tempat untuk semua pihak mendapatkan maklumat mengenai autisme,” ujarnya.

Program yang dianjurkan oleh NARC FSKM UiTM mendapat kerjasama Fakulti Sains Kesihatan UiTM Shah Alam, NASOM Malaysia dan Kizzu Kids Shah Alam merupakan sebahagian daripada Program Pelancaran NARC yang bermula pada 31 Mac lalu.

Ia berlangsung selama tiga hari ini dan menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran kesedaran kepada masyarakat tentang autisme, sesi saringan oleh juruterapi dan pakar psikologi dari NASOM, Kizzu Holdings dan Fakulti Sains Kesihatan dalam membuat pengesanan awal kanak-kanak autisme. –UTUSAN