SAUDARA PENGARANG

Menjadi satu kemestiaan pembukaan ruang perbualan adalah tidak asing dengan bertanya khabar. Melalui pertanyaan khabar itu akan membuka ruang kepada cabang-cabang perbualan lain. Ini adalah satu perkara baik kerana menerusi perbualan sihat akan membawa kepada kesejahteraan.

Kita juga harus cakna, bahawasanya kesejahteraan merupakan gabungan antara aspek kesihatan mental dan fizikal. Pasca COVID-19 telah menampakkan budaya kesihatan mental dan fizikal amat dititikberatkan. Sebenarnya, ia amat penting bagi seseorang individu untuk menjalani kehidupan berkualiti.

Perkataan “kesihatan” sering menitip di bibir manusia yang cakna terhadap kesejahteraan holistik. Malah menjadi satu kejanggalan jika ianya tidak diketengahkan di sebalik rencam masyarakat yang mendepani gaya hidup masa kini.

Harus dibanggakan kerana kini ramai daripada kalangan rakyat Malaysia rata-rata menitikberatkan isu kesihatan dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan masyarakat setempat seperti zumba, senamrobik, yoga dan sebagainya.

 

APA KHABAR @MEDIA SOSIAL

Warga yang celik digital masa kini membuka wahana baharu melalui golongan pempengaruh yang secara aktif menggunakan kuasa viral mereka untuk mengajak rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat dengan berkongsi pelbagai resepi yang lazat tetapi menyihatkan.

Ini adalah satu gerakan yang perlu disokong demi kelestarian kesihatan merentasi segenap lapisan masyarakat. Syabas! Namun perlu diperjelaskan bahawa “kesihatan” ini membawa erti yang meluas.

KONGSI PENGALAMAN AUTISME

Bercakap tentang autisme, ianya bukanlah satu perkara yang asing atau taboo dalam masyarakat. Dengan perkembangan pendidikan serta kesihatan yang jitu telah membuatkan ramai pihak mengembeleng akal fikiran untuk bersama-sama memikirkan jalan terbaik membantu ibu bapa dan anak-anak yang menghidap autisme untuk melestarikan kehidupan mereka dengan lebih baik.

Dahulu, ibu bapa yang mempunyai anak mengalami gangguan autisme berasa janggal untuk berhadapan dengan masyarakat. Malah ada yang mengalami gangguan emosi kerana takut dengan persepsi masyarakat yang tidak menentu. Tetapi kini dengan berkonsepkan ‘apa khabar’ telah membuka ruang untuk mereka mengeratkan rangkaian sosial yang sihat.

Umum mengetahui autisme merujuk kepada segolongan kanak-kanak yang mempunyai masalah berkomunikasi sosial dan pembelajaran. Autisme adalah satu bentuk gangguan kualitatif dalam interaksi sosial keratan rentas, komunikasi dan imaginasi dengan kehadiran corak atau pola tingkah laku yang terhad, lagi dan lagi, stereotaip, minat dan aktiviti serta suka mengasingkan diri.

Sekilas pandang, umum sukar mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami autisme berdasarkan sudut pandang luaran (fizikal) semata kerana mereka seakan-akan kelihatan sempurna seperti kanak-kanak sebaya yang lain.

MINGGU KESIHATAN KEMENTAH 2022

Minggu Kesihatan KEMENTAH 2022 yang diadakan pada 22 sehingga 24 November di Foyer Wisma Pertahanan telah membuka mata ramai pengunjung terhadap isu kesihatan autisme.

Demi meningkatkan kesedaran umum tentang autisme, National Autism Resource Centre (NARC), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA telah dijemput untuk menyalurkan maklumat berkenaan autisme kepada warga MINDEF serta pengunjung terhadap program-program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh NARC.

Ia dalam usaha membantu individu autisme melestarikan kehidupan dari pelbagai sudut kesihatan.

Menarik, NARC bersama The National Autism Society of Malaysia (NASOM) menjalankan saringan autisme secara percuma sepanjang Minggu Kesihatan KEMENTAH tersebut. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ibu bapa yang berkunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan panduan untuk perkembangan anak-anak mereka.

NARC juga turut berkongsi ilmu dan pengalaman seperti memberi pendedahan serta konsultasi kepada warga MINDEF tentang simptom autisme. selain itu, beberapa penerangan berkenaan langkah intervensi awal bagi keluarga yang mempunyai anak autisme juga diberi penjelasan melalui kajian-kajian terapeutik yang diusahakan oleh penyelidik bawah naungan NARC.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu gusar apatah malu untuk mendapatkan khidmat nasihat sewajarnya demi anak syurga mereka. Langkah awal walau sekecil mana pun yang diambil keluarga berupaya untuk memastikan kehidupan yang lebih cerah buat mereka, keluarga dan masyarakat.

PENULIS DR. MOHD. YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Komunikasi Liberal Pusat Pengajian Komunikasi dan Media UiTM Shah Alam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.